Mahad Tahfiz An-Nuri

Tahfiz ini unik dimana pelajarnya menghafaz al-Quran di kawasan ternakan lebah kelulut terletak di dalam kawasan Syamille Agro Farm & Resort, Perak. Penghuninya terdiri seramai 15 orang, berumur dari 13 ~ 17 tahun. Mereka adalah dalam kalangan anak-anak yatim piatu, fakir dan miskin. Untuk sampai ke lokasi, kenderaan besar seperti bas hanya boleh sampai jalan utama sahaja, ini kerana jalan masuk hanya berkeluasan untuk kereta, MPV dan motosikal sahaja.

Logo Ma'had Tahfiz

Belajar di sini kedengaran mengujakan. Tiada yuran pengajian dikenakan bahkan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dibiayai sepenuhnya oleh pihak sekolah. Semua kemudahan ini disediakan sehingga mereka memasuki universiti atau berhenti daripada sekolah berkenaan.

Penternakan lebah kelulut secara komisal.

Maahad Tahfiz An-Nuri berbeza berbanding sekolah tahfiz lain di negara ini kerana lokasinya di dalam kawasan resort. Di sini, pelajar bukan sahaja didedahkan dengan ilmu al-Quran bahkan boleh mempelajari cara menternak kambing, lembu dan rusa pada hujung minggu. Haiwan itu juga merupakan sumber makanan utama mereka selain menjadi punca pendapatan sekolah berkenaan.

Papan Tanda  jalan masuk ke Ma'had Tahfiz.

Pengangkutan disediakan dari jalan utama ke Ma'had Tahfiz.

Selain menghafal 30 juzuk al-Quran dan belajar agama, pelajar turut didedahkan dengan kurikulum pendidikan yang sama seperti di sekolah biasa. Aktiviti sekolah tahfiz ini bermula pukul 5 pagi setiap hari. Selepas solat sunat tahajud dan diikuti sembahyang Subuh, barulah rutin pembelajaran dilakukan sehingga pukul 9 malam.

Sistem tahfiz yang diterapkan di sini berbeza kerana ia mengikut sistem Turki berbanding maahad tahfiz lain di Malaysia yang menggunakan sistem hafalan al-Quran seperti di Pakistan dan Bangladesh. Mengikut sistem Pakistan dan Bangladesh, pelajar perlu hafal daripada surah pertama sehingga akhir secara berturutan.

Sebaliknya bagi sistem tahfiz ala Turki pula ia boleh melompat surah lain tanpa ikut turutan tetapi konsepnya sama iaitu menghafal keseluruhan surah yang ada dalam al-Quran. Sekolah tahfiz itu mengutamakan pengambilan pelajar yatim piatu atau daripada keluarga berpendapatan rendah. Mereka datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.







Pencetus idea sehingga wujudnya Maahad Tahfiz An-Nuri bukan calang-calang orang. Walaupun bukan lulusan bidang agama, penasihat dan Ketua Pegawai Eksekutif Syamille Agro Farm Sdn. Bhd, Mohd Zainuri Mohd Idrus mempunyai kisah tersendiri untuk dikongsi.

Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu bersyukur kerana beliau dikurniakan rezeki yang lebih baik akhir-akhir ini.

"Rezeki yang kita terima sebenarnya ada bahagian untuk orang lain. Itulah antara punca saya membina sekolah tahfiz di sini," ungkap Zainuri yang berasal dari Perlis tetapi menetap di Subang Jaya, Selangor. Beliau juga mahu sekolah tahfiz itu menjadi contoh dari segi kos operasi.

Bagaimanapun, ia belum membenarkan kehadiran pelancong asing kerana dikhuatiri cara pemakaian mereka boleh mengganggu tumpuan pelajar menghafal al-Quran.

Di sini juga terdapat 27 ekor ternakan rusa, kambing (836) dan lembu betina (23 ekor). Ia turut mengusahakan ternakan ikan tilapia, keli, ayam kampung dan itik selain dusun buah-buahan.

Najis haiwan itu pula tidak dibuang begitu sahaja. Sebagai contoh, najis lembu dan kambing digunakan untuk menjana gas metana bagi tujuan memasak.

Lokasi Tahfiz ini beralamat Lot 3749 & 3750, Jalan Lata Perahu, Kampung Chuar Hulu, Mukim Chegar Galah,33020 Kati, Kuala Kangsar, Perak.

Tel : 05-752 0209
H/P : 019-320 6177
Fax : 05-752 0082

Search This Blog